Risalah untuk "Salik"  

Posted by blog dr.

Campur Aduk Keikhlasan Dalam Amalan Ahli Suluk

Banyak perkara yang menyulitkan salik kepada Allah untuk wusul kepadaNya. Menganggu perjalannya, lantaran hijab yang menyelubungi rehlah ini. Terkadang keikhlasan bercampur-baur dengan amalan, yang diluar kesedaran kita bahawa ia merupakan salah satu kepada hijab tersebut.

Maka menjadi kewajiban, kepada ahli suluk mengetahui tentang bahayanya perkara tersebut, agar amalan salik itu sendiri menjadi tulus ikhlas kepada Zat Allah Ta'ala.

Hijab Pertama:
Melihat kepada amalan sendiri dan bukan kepada Allah jua. Hakikatnya, Allah yang disembah dan bukannya amalan. Amalan itu tidak lain, hanya sebagai wasilah untuk sampai kepada Kholiq. Allah jua sebagai tempat tujuan.

Maka hendaklah si salik mengetahui dengan jelas bahawa, kekuatan mereka melakukan ibadah dan amalan tersebut, adalah semata-mata rahmat dan kasih-sayang daripada Allah Ta'ala jua. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Allah yang menciptakan kamu serta apa yang kamu lakukan" (surah as-Sooffat, ayat 96).

FirmanNya lagi yang bermaksud: "Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tiada seorang pun di antara kamu yang bersih daripada melakukan dosa selama-lamanya" (surah an-Nur, ayat 21).

Hijab Kedua:
Mengharapkan balasan disegerakan terhadap segala amalan yang dilakukan. Kadang-kadang terdetik di hati salik, inginkan kemasyhuran, mukasyafah, sum'ah, ahwal, maqomat, dan lain-lain lagi.

Al-'Arif Billah Syeikh Arislan Rohimahullah menyebut di dalam Kitab Khamratul Han wa Ronatul al-Han, m/s 177, yang bermaksud: "Wahai tawanan syahwat - keinginan - dan ibadah! Wahai tawanan maqomat dan mukasyafah! Engkau sebenarnya tertipu."

Ia menjadi tawanan kerana perkara tersebut adalah termasuk daripada perkara serta ahwal aghyar dan dari alam ciptaan. Wuquf kepada perkara terkara tersebut, bermakna kita terputus daripada sampai kepada ma'rifah terhadap pencipta kita iaitu Allah Ta'ala, sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawasanya kepada tuhanmulah kesudahan (segala sesuatu)" (surah an-Najm, ayat 42).

Syeikh 'Abdul Ghani an-Nablusi menta'liq kata-kata Syeikh Arislan Rohimahumallah menyebut: "Sekiranya engkau (wahai salik!) jujur, nescaya engkau tidak menoleh kepada syahwat keinginan atau ibadah (semata-mata), maqam dan kashsyaf. Kamu hendaklah memusatkan tujuan kamu hanya kepada Allah semata-mata dan bukan selainNya."

Beliau menukilkan kata-katanya, Syeikh Abul 'Abbas al-Mursi Rohimahullah di dalam Kitab at-Tanwir Fi Isqot at-Tadbir, karangan Ibnu 'Athoillah as-Sakandari Rohimahullah: "Seseorang wali tidak wusul kepada Allah sehinggalah terputus daripadanya syahwat keinginan untuk wusul kepada Allah."

Macam pelik kan? Tapi itulah antara hikmah yang tinggi. Seorang hamba tidak layak untuk mempersoalkan kehampirannya kepada sultan atau raja. Menginginkan kehampiran yang sepatutnya tidak layak baginya untuk duduk bersama sang raja. Inikan pula duduk muroqobah kepada Allah, raja kepada segala raja. Tugas si salik hanya ibadah dan usaha. Anugerah dan kurnia itu daripada Allah Ta'ala jua.

Hijab Ketiga:
Merasa cukup dengan amalan yang dilakukan. Maka hendaklah seorang salik yang sodiq kepada Allah berkecuali dan berlindung dengan sifat ini. Hendaklah bersungguh-sungguh melakukan ibadah malam dan siang, nescaya dia akan melihat dirinya masih kurang taat terhadap Allah Ta'ala. Di manakah kedudukan hamba yang lemah ini, kalau hendak dibandingkan dengan pencipta alam seluruhnya?

Demikian Allah menyebut kurangnya pengabdian manusia ini kepadaNya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya." (surah az-Zumar, ayat 67)

Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud: "Maka bersegeralah kamu kembali kepada Allah." (surah az-Zaariyat, ayat 50). Merekalah ahlullah yang sentiasa menyahut seruan ilahi.

This entry was posted on Friday 13 March 2009 at 19:31 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

qabull insyaAllah....unsurna Ya Allah...

15 April 2009 at 04:59

Post a Comment