Menziarahi Baba Aziz  

Posted by blog dr.

Malam semalam, aku menziarahi Baba Aziz Hafizahullah. Pergi bersama Syeikh Husni Hafizahullah dan sahabat-sahabat yang lain dari Zaqaziq.

Kami tiba di rumah tumpangan beliau, yang terletak di sekitar Maidan Geisyh, Abbasiah sekitar jam 9.35 malam. Membawa sekali sejumlah hadiah kenang-kenangan daripada Syeikhuna Dr. Yusuf al-Hasani Hafizahullah untuk Baba Aziz.

Pertama kali bertemu dengan Baba Aziz membuatkan hati kami teruja. Namanya selalu disebut-sebut, akhirnya bertemu jua di Mesir ini. Wajahnya tenang bercahaya, kata-katanya hikmah dan perwatakannya yang disenangi.

Berkesempatan akhirnya untuk mendengar pengriwayatan hadis musalsal awwaliyyah, bacaan awal hadis dari Kutubussittah dan Kitab Muwatto', ijazah 'ammah musyafahah mukatabah, ijazah hizb al-Bahr dan Imam an-Nawawi serta ijazah as-Suluk bis Solah.

Antara nasihat-nasihat Baba Aziz :
1-Sentiasa jaga hubungan dengan Allah.
2-Hati merupakan nilaian yang paling berharga. Penuhkan hati dengan kasih dan mahabbah. Lebih-lebih lagi cinta kepada Allah SWT.
3-Jangan sia-sia waktu dengan buat sesuatu yang tiada kaitan dengan Allah. Rugi kerana tiada nilaian sedikit pun di sisinya.
4-Segala sesuatu perancangan Allah. Serahkan kepada Allah. Bila kita tahu ia daripada Allah, kita pasti tidak akan menyesal dan marah. Tak kan kita nak marah pada tuhan? Sedangkan Dia yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
5-Tumpukan pengenalan dan tumpuan kepada Allah. Demikian, kita tidak akan bersangka buruk pada Allah, mahu pun insan.

Biodata beliau:
Beliau ialah Syeikh Abdul Aziz b. Syafie b. Ahmad b. Muhammad asy-Syafie. Lebih dikenali sebagai Baba Aziz. Lahir pada tahun 1947. Berasal daripada Selatan Thailand. Pernah menetap di Mekah selama 24 tahun dari tahun 1967 hingga tahun 1994. Kembali ke Thailand pada tahun 1994 dan membuka sekolah yang berteraskan kepada pengajian pondok. Berhijrah ke Malaysia pada tahun 2004 dan menetap di Kelantan sehingga ke hari ini.

Beliau pernah belajar di Ma'ahad Sanawiyyah di Solatiyyah, Mekah ketika berumur 16 tahun sehingga 20 tahun. Kemudian meneruskan pengajian di 'Aliah Darul 'Ulum sehingga berusia 22 tahun. Empat tahun seterusnya, di Jamadul 'Abdul 'Aziz, Mekah. Selanjutnya dua tahun kemudiannya di Fii'mul Hadis.

Antara guru-guru beliau ialah:
1- Sayyid 'Alawi b. 'Abbas al-Maliki.
2- Syeikh Muhammad Yasin b. 'Isa al-Fadani al-Makki.
3- Sayyid Muhammad b. Alawi b. 'Abbas al-Maliki.
4- Syeikh Hasan Mashsyat.
5- Syeikh Hasan Toha al-Yamani
6- Syeikh 'Abdullah Lahji al-Yamani.
7- Syeikh 'Iwadh al-Yamani.
8- Syeikh 'Abdul Karim al-Banjari.
9- Syeikh 'Abdul Hamid al-Banjari.
10- Syeikh Husain al-Falembani.
11- Syeikh Soleh al-Fatthoni.
12- Syeikh Muhammad Muhaddith al-Fatthoni.
13- Dr. Sayyid 'Abashi al-Habsyi.

This entry was posted on Tuesday 17 March 2009 at 14:38 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment