الحمد لله الذي فتح لمن أناب إليه باب الرحمة والغفران، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، غافر الذنوب، وقابل التوب، شديد العقاب، وأشهد أن سبدنا محمدا عبده ورسوله، سيد من تاب وأناب. اللهم صل وسلم وبارك عليه وعلى آله وأصحابه. أما بعد،
Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman yang bermaksud:
Tuhan kamu telah menetapkan bagi dirinya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah). Bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
(Surah al-An'am, ayat 54)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Taubat dan kembali kepada Allah Subhanahu Wata’ala merupakan salah satu kewajiban yang mesti dilaksanakan kerana dosa merupakan faktor kehancuran manusia dan menjadikan manusia semakin jauh dari tuhannya.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur, ayat 31)
Allah Subhanahu Wata’ala menyebut yang maksudnya:
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
(Surah
Al-Quran merakamkan firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai tuhan kami! Sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
(Surah at-Tahrim, ayat 8)
Seorang ulama' iaitu “Al-Qoroziy” Rohimahullah menyatakan bahawa taubat nasuha itu mestilah disertai dengan empat perkara. Antaranya memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala dengan lisannya, melaksanakan sepenuh pengabdian dengan anggota badannya, bersungguh-sungguh tidak mengulangi kesalahan yang lalu dan tidak melakukan perkara-perkaara yang dimurkai oleh Allah Subhanahu Wata’ala.
Menurut Ibnu Qoyyim Rohimahullah bahawa taubat ialah membebaskan diri daripada perbuatan dosa, melaksanakan ibadah dengan mengharapkan keredhaan tuhan, takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala, bersungguh-sungguh melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Kaum Muslimin yang dikasihi sekalian,
Banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan bertaubat. Sayyiduna Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
Walaupun kamu melakukan kesilapan setinggi langit, kemudian kamu bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubat kamu.
(Riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sohih)
Sabda Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wasallam lagi bahawa Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman yang bermaksud:
"Wahai keturunan Adam! Sekiranya kamu berdoa (untuk memohon keampunan) dan kembali kepadaku, nescaya akan aku ampuni dosa- dosa kamu yang lalu dan aku tidak peduli.
Wahai keturunan Adam! Sekiranya dosa kamu setinggi langit, kemudian kamu datang memohon keampunan kepadaku, pasti akan kuampunkan.
Wahai keturunan Adam! Sekiranya kamu datang kepadaku dengan dosa sepenuh bumi sekalipun, kemudian kamu bertaubat kepadaku dan tidak menyekutukanku dengan sesuatu pun, nescaya aku akan mengampuni dosamu dengan sepenuh pengampunan.
(Riwayat at-Tirmizi)
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Rasulullah Subhanahu Wata’ala telah bersabda:
كل ابن آدم خطأ، وخير الخطأئين التوابين
Maksudnya:
Setiap keturunan Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan tersebut ialah orang-orang yang bertaubat.
(Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim dengan isnadnya yang sohih)
Al-Imam Muslim Rodhiallahu ‘Anhu mriwayatkan bahawa seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam dalam keadaannya sedang mengandung kerana berzina. Wanita tersebut berkata: "Wahai Rasulullah! Jalankanlah hukuman ke atasku." Kemudiannya baginda SAW memanggil penjaganya lalu berkata: "Jagalah dia sebaik mungkin. Apabila anaknya telah dilahirkan, bawa dia menemuiku." Semua perintah dilaksanakan.
Selepas anak itu dilahirkan, hukuman rejam terhadap wanita itu dijalankan. Dia meninggal dunia dan jenazahnya disembahyangkan oleh baginda Sollallahu ‘Alaihi Wasallam, lalu Sayyiduna 'Umar Rodiallahu ‘Anhu berkata kehairanan: "Engkau menyembahyangkannya wahai Rasulullah sedangkan dia telah melakukan perbuatan zina?"
Baginda Sollallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab bahawa perempuan tersebut telah bertaubat dan nilai taubatnya lebih besar jika dibandingkan dengan 70 orang penduduk Madinah.
Ibrahim bin Adham Rohimahullah menceritakan pada suatu malam, setelah beliau melaksnakan tawaf, beliau bermunajat kepada Allah Subhanahu Wata’ala: "Wahai tuhan! Peliharalah diriku supaya aku tidak berbuat dosa kepadaMu untuk selama- lamanya." Tiba- tiba beliau mendengar satu suara berkata:
"Wahai Ibrahim! Engkau merayu kepadaku supaya tidak berbuat dosa selama-lamanya, sedangkan kesemua hambaku memohon perkara yang sama. Sekiranya aku memelihara kamu (daripada tidak melakukan dosa), maka siapa di antara kamu yang hendak aku muliakan dan kepada siapa pula yang hendak aku ampunkan?"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Diriwayatkan bahawa ada seorang pemuda dari Bani Israil beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh ketaatan selama 20 tahun. Kemudiannya dia hidup bergelumang dosa selama 20 tahun. Selepas itu, dia melihat dirinya di cermin dan merasakan dirinya sudah berusia hampir menemui maut. Dia menangis lalu berkata: "Tuhanku, aku telah mentaatimu selama 20 tahun, tetapi kemudian aku menderhakaimu selama 20 tahun pula. Adakah sekiranya aku kembali kepadamu, Engkau akan menerimaku?" Kedengaran satu suara berkata: "Kalau engkau taat kepada Kami, engkau di bawah pemeliharaan Kami. Kalau engkau ingkar kepada Kami, engkau akan diabaikan, dan sekiranya engkau kembali bertaubat kepada Kami, Kami akan menerimamu."
Sayyiduna Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
من كانت عنده مظلمة لأخيه من عرض أو من شيء فليتحلله منه اليوم قبل أن لا يكون درهم ولا دينار. إن كان له عمل صالح أخذ منه بقدر مظلمته وإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبه فحمل عليه ثم طرح في النار
Maksudnya:
Barangsiapa yang menzalimi saudaranya dengan mencemarkan maruahnya atau sesuatu yang lain, maka hendaklah dia menyelesaikannya (iaitu dengan bertaubat dan memohon maaf) sebelum tibanya satu hari yang tidak lagi bernilai padanya dirham atau pun dinar. Sekiranya (dia masih lagi tidak bertaubat) amalan solehnya akan diambil dan diberikan kepada saudaranya (yang dizaliminya) mengikut kadar kezaliman yang dilakukan olehnya.
Dan sekiranya dia tidak mempunyai sebarang amalan soleh, dosa- dosa saudaranya itu akan dipindahkan kepadanya.
Dia akan menanggung semua dosa-dosanya itu dan kemudian dia akan dicampak ke dalam api neraka.
(Riwayat al-Imam al-Bukhari dan Ahmad)
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud:
Sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Surah al- Hujurat, ayat 11)
Kaum Muslimin yang dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Al- Quran merakamkan firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:
(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia! Kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Jika ia mahu, nescaya ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu.
Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.
(Surah Faathir, ayat 15 hingga 17)
Sayyiduna Ibnu Abbas Rodiallahu ‘Anhu menyebut bahawa sesungguhnya kebaikan itu menjernihkan wajah, menerangkan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan menambahkan rasa kecintaan manusia kepadaNya.
Manakala amalan kejahatan itu menghitamkan wajah, menggelapkan hati serta kubur ketika mati, melemahkan anggota badan, mengurangkan rezeki dan menambahkan kebencian manusia kepadanya. Oleh itu, hendaklah kita berusaha meninggalkan segala dosa walau pun sekecil mana pun ia.
Sayyiduna Bilal bin Sa'ad Rodiallahu ‘Anhu berkata: "Janganlah engkau lihat kecilnya dosa yang engkau lakukan, tetapi lihatlah kepada besarnya siapa yang engkau derhakai." Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah an- Nisak, ayat 17)
Taubat tidak akan diterima ketika seseorang itu hampir kepada kematian semasa roh berada di kerongkong.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud:
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah an-Nisa`, ayat 18)
Sayyiduna Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
إن الله يقبل توبة التائب ما لم يفرغر
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba- hambaNya yang bertaubat selagi mana rohnya belum sampai ke keronkong.
(Riwayat Ibnu Majah dan at- Tirmizi)
Kaum Muslimin yang dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud:
133. Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
134. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
135. Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
136. Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala sekalian,
Bertaqwalah kita kepada Allah Ta'ala dan bersegeralah kembali dan bertaubat kepada Allah dengan melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Adakah kita mampu untuk berkata: "Aku akan bertaubat esok." Sedangkan esok belum tentu di dalam genggaman kita lagi. Mudah- mudahan Allah Subhanahu Wata’ala meredhai kita semua dan semoga hari yang akan datang lebih baik daripada hari sebelumnya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.