.: Khutbah Jumaat 1 (Ekonomi) :.  

Posted by blog dr.

EKONOMI UMAT ISLAM DAN TUNTUTANNYA.

بسم الله الرحمن الرحيم.

الحمد لله الذي لا يضيع أجر المحسنين، يحسن ويرغب ممن ارتفع اقتصاد للأمة الإسلامية، ويأمر بتفريج كرب المكروبين. وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، لا تنفد خزائنه، ضاعف ثواب المتصدقين. وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله، ملجأ البائسين والمهلوفين. اللهم صل وسلم وبارك عليه وعلى آله وأصحابه الذين بذلوا أموالهم في سبيل الخير وإسعاد المحتاجين.
أما بعد،

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud:

"Dan Dia lah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi ini dan meninggikan (kedudukan) sebahagian kamu di atas sebahagian yang lain dengan beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu terhadap apa telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

(Surah al-An'am, ayat 165)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah Ta’ala sekalian,
Tajuk khutbah pada hari ini ialah “Ekonomi Umat Islam dan Tuntutannya”. Agama Islam yang lengkap ini, merangkumi seluruh aspek kehidupan. Penghubung kebahagian dunia dan akhirat. Islam merupakan agama fitrah yang satu-satunya diakui kesempurnaannya oleh Allah Subhanahu Wata’ala. FirmanNya yang bermaksud:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu Agama kamu, dan Aku telah sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah reda bahawa Islam itu menjadi Agama untuk kamu."
(Surah al-Maidah, ayat 3)

Dunia kini menuntut perubahan dan kemajuan terutamanya daripada sudut ekonomi. Agama Islam yang sememangnya kita kenali menganjurkan umatnya supaya tidak meletakkan kehidupan duniawi sebagai tujuan hidup yang paling utama.

Tetapi tidak pula menggalakkan umatnya menjadi ‘abid semata-mata tanpa mempedulikan hal ehwal masyarakat sekeliling. Bukankah ekonomi merupakan salah satu sendi ketamadunan masyarakat masa kini? Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan."
(Surah al-Qosos, ayat 77)


Sidang hadirin yang dirahmati sekalian,
Berusaha mencari rezeki halal serta meningkatkan ekonomi termasuk di dalam aspek ibadah. Islam menganjurkan umatnya meningkatkan ekonomi terutamanya dalam bidang perniagaan, kerana di dalam bidang inilah terletaknya rezeki Allah Subhanahu Wata’ala yang amat luas.

Sayyiduna Rasulullah Sollallahu Alaihissalam pernah bersabda bahawa sembilan persepuluh rezeki berada di dalam bidang perniagaan. Ekonomi memainkan peranan penting dalam kehidupan. Ia bukan sekadar menjamin kestabilan Umat Islam, bahkan mampu membina empayar ketamadunan yang lebih tinggi dari negara-negara maju di barat.

Namun realitinya kini, ekonomi kita jauh ketinggalan. Pencapaian ekonomi kita jauh merosot berbanding ekonomi penganut agama lain.

Ini bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Islam menganjurkan kita berdaya-saing dalam ekonomi dan mengatasi kemajuan ekonomi penganut daripada agama lain.

Sejarah Islam memaparkan kepada kita kekayaan pendidikan dan ekonomi yang pernah kita kecapi satu ketika dahulu. Tetapi sekarang, kenapa suasana bertentangan seperti ini yang berlaku? Sedangkan kitalah pencetus ketamadunan manusia dan manusiawi satu ketika dahulu.

Al-Imam Ahmad Rodiallahu ‘Anhu meriwayatkan hadith bahawa Sayyiduna Rasulullah Sollallahu ‘Alaihissalam bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barangsiapa yang bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah Subhanahu Wata’ala.

Kemodenisasi dunia hari ini menuntut Umat Islam untuk memantapkan ekonomi mereka. Ini bukan sahaja untuk kepentingan hidup mereka semata-mata, bahkan memelihara maruah Agama Allah itu sendiri.

Hadith yang diriwayatkan oleh at-Tobariy bahawa Nabi Sollallahu ‘Alaihissalam telah bersabda yang bermaksud: “Pada akhir zaman kelak, manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”

Aspek ekonomi sebenarnya mempunyai kesan yang mendalam dalam kehidupan Umat Islam. Bagaimanakah kita hendak hidup sekiranya ekonomi kita mundur? Adakah kita sanggup menjadi sebagai umat yang hina dengan meminta sedekah daripada penganut agama lain?

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Senario masa kini memaparkan kepada kita, terdapat segelintir Umat Islam yang meninggalkan agama mereka semata-mata kerana kesempitan hidup.

Alasan yang cukup mudah mereka katakan, bahawa Umat Islam yang lain tidak mempedulikan mereka. Hanya jiran yang bukan Islam sahaja yang mampu menghulurkan bantuan.

Saudara-saudara seislam mereka pun tidak mampu berbuat apa-apa kerana realitinya mereka sendiri daif dibelenggu oleh kemiskinan. Hadith at-Tobari dan asy-Syihab menukilkan sabda Baginda Sollallahu ‘Alaihissalam yang bermaksud: “Kesengsaraan yang paling teruk ialah miskin di dunia dan diseksa di akhirat.”

Al-Quran merakamkan kepada kita gesaan Allah Subhanahu Wata’ala terhadap umat seperti berniaga. Bukankah ia salah satu penyumbang kepada peningkatan ekonomi Umat Islam? Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."

Dalam konteks dunia moden hari ini, peningkatan ekonomi tidak semestinya berlaku melalui kegiatan perniagaan sahaja. Kebanyakkan pekerjaan bergaji berdasarkan kepakaran serta kemahiran tinggi juga mampu meningkatkan taraf ekonomi seseorang atau sesebuah keluarga.

Minbar khutbah pada hari ini membawa kita bersama-sama menelusuri sirah tokoh-tokoh Islam lampau yang berjaya meningkatkan ekonomi umat ini. Antaranya ialah Sayyiduna ‘Abdurrahman bin ‘Auf Rodiallahu ‘Anhu. Teknik peningkatan ekonomi beliau sungguh menakjubkan. Beliau adalah seorang usahawan bersentuhan emas sehingga beliau sendiri berkata, “Sungguh, aku lihat diriku , seandainya aku mengangkat batu nescaya kutemukan di bawahnya emas dan perak.

Beliau berjaya menguasai ekonomi golongan kuffar dengan perniagaan yang berkembang pesat dari Mesir sehingga Syria. Sentiasa menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram dalam penguasaan ekonomi, walau pun perkara-perkara yang syubahat sekali pun.

Baginya setiap keuntungan perniagaan terdapat bahagian yang tepat dan selayaknya dikeluarkan untuk Allah SWT, di samping menjaga keperluan keluarganya. Keperluan tentera Islam ketika itu banyak dibiayai oleh beliau. Satu ketika, beliau pernah menyerahkan 500 ekor kuda untuk kegunaan tentera Islam, di masa lain pula beliau memberi 1500 kenderaan.


Hadirin muslimin yang dirahmati sekalian,
Sikap dermawan beliau dalam menyumbang peningkatan ekonomi Islam sukar ditandingi . Beliau pernah mendapat 40 000 dinar hasil jualan tanah.

Kesemua wang tersebut dibahagi-bahagikan kepada keluarganya dari Bani Zuhrah, kepada para isteri Rasulullah SAW dan fakir miskin. Begitulah seorang tokoh usahawan Islam yang berjaya memecah perniagaan dan ekonomi golongan kuffar ketika itu.

Sidang Jumaat sekalian,
Sejarah juga menceritakan kisah Sayyiduna Zubair bin al-‘Awwam Rodiallahu ‘Anhu. Kehidupannya dicatit oleh sejarah mengenai kepahlawanannya dan sebagai seorang tokoh usahawan Islam satu ketika masa dahulu.

Setelah Rasulullah Sollallahu ‘Alaihissalam wafat, Sayyiduna Zubair Rodiallahu ‘Anhu giat berniaga demi meningkatkan ekonomi rumahtangganya dan Islam itu sendiri. Di zaman pemerintahan Khalifah Sayyiduna ‘Umar Rodiallahu ‘Anhu, beliau masih terus berjuang dalam peperangan, malah beliau merupakan salah seorang ketua angkatan perang ketika itu.

Kehandalan berniaga menjadikan beliau kaya, lalu membangunkan sebuah gedung besar di Basrah, yang dijadikan sebagai tempat penginapan pedagang dan tokoh-tokoh pemerintah yang berkunjung ke Basrah. Beliau juga mendirikan banyak rumah di Kufah, Fustat, Iskandariah dan Madinah. Suatu ketika, beliau mempunyai 50 000 dinar, 1000 orang hamba dan 1000 ekor kuda. Mengagumkan apabila semua hartanya itu disedekahkan ke jalan Allah.

Al-Asbahani meriwayatkan bahawa baginda SAW bersabda: “Manusia yang paling disayangi Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”

َبارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

This entry was posted on Thursday, 13 November 2008 at 03:59 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment