.: MaSyAiKh Di MeKaH '07 DaLam KeNaNgAn 1 :.
e-mail : ceointerfirdaus@yahoo.com
18 REJAB 1428 HIJRIYYAH/ 2007:
Bertemu dengan al-'Allamah al-Musnid asy-Syaikh Husni Tamrin al-Makki Hafizahullah?
Hari ni, hari kedua ku kira keberadaan ku di Mekah. Terkadang, hatiku tersentak dengan suasana indah dan tenang di sini. Lelaki berjubah putih memimpin anak comel sekitar 5 tahun pergi ke Masjidil Haram. Wanita-wanita berjubah dan berpurdah hitam juga ke situ. Kedai-kedai pula ditutup tatkala azan Subuh berkumandang. Semuanya menuju ke situ … Masjidil Haram.
Allahu Akbar … Takbir imam berbunyi. Bergetar jiwaku seketika. Ka'abah di hadapan … langit tenang … jemaah membanjiri kawasan masjid ini tidak putus henti. Pengajian Hadith ku kira dijalankan selepas Solat Subuh di satu kawasan dalam masjid ketika itu. Subhanallah … Hatiku kembali terusik.
Air zam-zam ku teguk sebelum melangkah keluar dari masjid ini. Kira-kira perancangan kami ingin menziarahi al-'Allamah al-Musnid asy-Syaikh Husni Tamrin al-Makki. Alangkah bertuahnya, rombongan kami diketuai Syaikh Husni Hafizahullah yang begitu mengenali lokasi masyaikh di sini. Nama yang sama dengan syaikhnya sendiri iaitu Syaikh Husni Tamrin Hafizahullah.
Perjalanan kami mengambil masa setengah jam berjalan kaki. Melalui jalan-jalan besar dan seterusnya mendaki tangga berbukit ke rumah beliau. Pintu rumahnya diketuk. Kelibat seorang syaikh yang begitu dikagumi keluar menyambut kedatangan kami.
Syaikh Husni Tamrin Hafizahullah merupakan penulis kepada Musnid ad-Dunya Abul Faidh Muhammad Yasin b. 'Isa al-Fadani al-Makki Rohimahullah. Beliau termasuk di kalangan anak murid kanan kepada Syaikh Yasin al-Fadani Rohimahullah. Berkelulusan sarjana atau master di Universiti al-Azhar, Mesir. Menetap sudah lama di sini, walau pun tanah airnya; Indonesia. Bahasa Arab sudah sebati menjadi tuturan hariannya bersama keluarga. Tidak pelik bagi kami, apabila beliau mampu bersyarah di dalam Bahasa Arab dengan begitu fasih.
Ilmu dan kedudukannya menjadikan rumahnya tidak padam kunjung di datangi penuntut ilmu yang dahagakan ilmu dan ijazahnya. Orangnya zuhud, warak, alim, berpewatakan sederhana dan sentiasa mendampingi Syaikh Yasin al-Fadani Rohimahullah sejak kecilnya, menjadikan beliau dikenali dan dihormati.
Bertemu dengan al-'allamah al-Faqih asy-Syaikh Husain as-Siroji Hafizahullah?
Tengah hari, kami berjalan menziarahi Syaikh Husain Hafizahullah. Perjalanan begitu meletihkan kerana terpaksa mendaki tangga berbukit lain yang lebih tinggi. Cuaca panas.
Syaikh Husni membawa kami ke rumah sahabat Malaysianya yang merupakan anak murid kepada Syaikh Husain Hafizahullah. Nikmatnya … apabila kami dihidangkan dengan air manis sejuk. Perisa apa pun aku tidak tahu, yang penting sedap dan sejuk … alhamdulillah. Rupa-rupanya dia berasal dari Terengganu kalau tidak silap.
Setengah jam kemudian, kami dibawa olehnya ke tempat pengajian Syaikh Husain Hafizahullah mengajar. Semacam musolla dan ketika itu pengajian telah pun bermula. Selesai solat Zuhur, kami terus mengikuti pengajian beliau. Seorang mu'ammar yang alim dan zuhud dikelilingi oleh anak-anak muridnya.
Pernah berguru dengan Syaikh Muhammad Khoir al-Bukhori, Syaikh Sayyid 'Alawi al-Maliki, Syaikh Hasan al-Mashsyad dan Syaikh Hasan al-Yamani.
Majlis pengriwayatan hadith dan bacaan awal di setiap Kutubussittah bermula di majlis khusus beliau kepada kami pada akhir pengajian. – bersambung.