.: MaSyAiKh Di MeKaH DaLaM KeNaNgAn 2 :.
e-mail : ceointerfirdaus@yahoo.com
19 Rejab 1428 Hijriyyah (Khamis).
Kebanyakkan hari ini , kami manfaatkan bersama Syaikh Muhammad Husni Tamrin Hafizahullah. Mendengar pengriwayatan beberapa hadith musalsal, terutamanya yang jarang-jarang didengari.
20 Rejab 1428 Hijriyyah (Jumaat).
Seawal pagi, perancangan kami untuk menziarahi Syaikh Kholid at-Turkistaniy Hafizahullah. Boleh dikatakan seorang yang mewah, tetapi berpewatakkan sederhana, tawaduk dan sentiasa menghormati tetamu. Beliau sempat menceritakan kepada kami pengalaman beliau bersama beberapa orang masyaikhnya; Syaikh Syukri, Syaikh 'Abidin dan Syaikh Muhammad Khatib. Merupakan ilmuan hadith yang paling banyak mengriwayat hadith kepada kami … aku kira.
Selepas Asar, Syaikh Kholid membawa kami ke rumah Syaikh Habib Ahmad ar-Ruqoimi Hafizahullah. Sudah uzur dan terlantar sakit. Namun kami benar-benar terharu apabila beliau masih mahu mengriwayatkan ijazah amah musyafahah kepada kami. Pujian terindah … bagiMu wahai Allah!
21 Rejab 1428 Hijriyyah (Sabtu).
Kami menaiki kereta, menziarahi al-'Allamah al-Muhaddith al-Muqri' asy-Syaikh Nabil Hashim Ali Ba'lawi Hafizahullah. Beliau pernah berguru dengan al-'Allamah Syaikh Hasan al-Mashsyad, Syaikh Mu'ammar b. Abdussalam, Habib Abdul Qodir as-Saqqaf dan Habib Abdurrahman al-Kaf. Orangnya tinggi dan tegas.
Semacam komplek pendidikan tahfiz di sini. Aku cuba mendekati pelajar-pelajarnya. Rupa-rupanya ada di antara mereka dari Indonesia dan Malaysia. Bersembahyang Asar di situ dan selepasnya kami menerima beberapa buah buku ijazah dari beliau.
Ketika maghrib hampir tiba, kami terus menuju ke Maktabah dan Sahah Syaikh Yasin al-Fadani. Melihat banyak hasil tulisan tokoh ini. Banyak juga buku beliau yang ku beli di sini.
22 Rejab 1428 Hijriyyah (Ahad).
Pagi ini, kami cuba menjejaki Madrosah Solwatiyyah. Dipandang sebagai sebuah madrasah yang hebat dan contoh oleh Kerajaan Saudi.
Menjadi tempat persinggahan ilmu ramai ulama, termasuk dunia arab mahu pun asia. Siapa tidak kenal Syaikh Hasan Mashsyad, Syaikh Yasin al-Fadadi, Sayyid Muhammad b. Sayyid Alawi, Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari …? Berjumpa dengan beberapa orang tenaga pengajar di situ.
Mudir madrosah, Syaikh Majid Said Hafizahullah membawa kami ke salah sebuah kelas pengajian beliau. Kelihatan di dalamnya hampir seratus pelajar menunggu pengajian beliau. Rasa segan pula kami dibuatnya … sebab duduk betul-betul dihadapan mudir mereka dan di belakang kami ada ratusan mata melintasi hadap ke arah Syaikh Majid Said Hafizahullah.
Lebih kurang sejam setengah berlalu, kami dibawa pula oleh beliau ke pejabatnya di bahagian bangunan pentadbiran. Rupa-rupanya di situ, seorang mudir madrasah dari India sedang menanti kedatangan beliau. Syaikh Husni kata, mudir yang datang ini bukan calang-calang orang katanya.
Akhirnya, kami diberikan beberapa buah buku cetakan madrasah dan ijazah daripada mudir; Syaikh Majid Said Hafizahullah. Al-hamdulillah …
Petangnya, kami menuju ke rumah Syaikh Abdul Syakur Hafizahullah. Merupakan salah seorang anak murid kepada Syaikh Maulana Zakaria al-Kandahlawi Rohimahullah. Majlis pengriwayatan hadith dan bacaan awal di setiap Kutubussittah bermula.
Alamak … bas nak bergerak balik ke perlabuhan di Madinah lepas maghrib ini. Aku dan kawan-kawan sedikit kelam-kabut ke hotel, mengemas barang pulang. Selamat tinggal Mekah. Indahnya kenanganku bersamamu. Mudah-mudahan kita akan bersama lagi. Pasti merinduimu!
Terima kasih yang paling indah bagiMu wahai Allah! Memberi peluang kepada kami untuk berumrah dan menziarahi Mekah. Begitu juga , kesempatan mendampingi kekasih-kekasihMu. Ulamak yang menjadi waris para anbia'. Sekian >>