.: BuKu 1 - MoNoGrAf :.  

Posted by blog dr.

.: AmAl IjTiMa'Ie :.

e-mail : ceointerfirdaus@yahoo.com

Assalamu'alaikum … Sahabat-sahabat yang dihormati …

Teringat saya sebuah kecil "Monograf". Hasil pena yang cuba saya terbitkan sejak setahun yang lalu. Izin Allah, buku ini berjaya ke cetakan edisinya yang kedua.

Buku ini menghimpunkan beberapa kertas kerja yang penulis bentangkan dalam beberapa siri muzakarah berkelompok di Mesir ini. Tajuk pertama yang bertajuk Ketaatan dan Patuh Kepada Allah dan RasulNya. Merujuk dua buah buku utama iaitu Matan al-Arba’ien Lin Nawawi dan Jami’ al-‘Ulum Wal Hikam Libni Rojab.

Tajuk kedua pula yang berjudul Apakah Maksud Tafsir Maudu’ie?, bersumberkan buku at-Tafsir al-Maudu’ie, tulisan Prof. Dr. Muhammad Nabil Ghonaim Hafizahullah. Hanya berkisar tentang maksud mengenai Tafsir Maudu’ie.

Tajuk ketiga berkaitan Amal Ijtima’ie; Satu Kajian Umum. Manakala tajuk yang terakhir fokus kepada Muqaddimah Lil Bujairimiy . Mengenai satu pengenalan ringkas berkaitan buku al-Bujairimiy ‘Ala al-Khotib.

Mungkin dikesempatan ini, saya cuba berkongsi dengan kalian dengan tajuk yang ketiga secara ringkas. Amal Ijtima’ie; Satu Kajian Umum.

Definisi Amal Ijtimai'e.

Amal ijtimai'e merupakan kerja yang dilakukan oleh individu perseorangan atau mana- mana pertubuhan atau organisasi, untuk memberi kebajikan kepada masyarakat umum.[1]

Prof. Dr. Yusof al-Qorodhowiy Hafizahullah mengemukakan beberapa contoh amal ijtimai'e seperti membina masjid, menubuhkan oganisasi yang mengendalikan urusan agama sama ada ia dikehendaki oleh Kementerian Wakaf atau pertubuhan yang menyokong kerajaan. Pertubuhan ini dapat memberi sumbangan terhadap Agama Islam sama ada kadar yang sedikit atau banyak. Kerja-kerja tersebut akan mendapat keredhaan Allah Taala, sejauh mana keikhlasan mereka melaksanakan tugas- tugas tersebut.[2]

Kepentingan Amal Ijtimai'e.

Agama Islam menuntut umatnya supaya melakukan kebajikan dikalangan manusia. Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).”[3]

Setiap ahli masyarakat perlu memahami bahawa amal ijtimai'e merupakan satu wasilah atau jalan untuk mencapai matlamat jamai'e iaitu:[4]

  • Mengabdikan diri kepada Allah Taala. FirmanNya yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."[5]

  • Menyatupadukan Umat Islam.
  • Membina keperibadian diri, keluarga, masyarakat dan negara yang berlandaskan ajaran Agama Islam.
  • Mempelopori kerja-kerja amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Amal Ijtimai'e:

Amar Ma'ruf Nahi Mungkar; Satu Kajian.

Allah Taala menyebut firmanNya di dalam kisah Luqman al-Hakim yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki untuk diambil berat melakukannya."[6]

Oval: 19Sesungguhnya menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan sebesar- besar syiar Islam dan ia merupakan tugas yang mesti dipikul oleh kita semua.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (iaitu berdakwah) kepada kebajikan (dengan mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (iaitu buruk dan keji), dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."[7]

Al-Quran merakamkan firman Allah Taala yang bermaksud: "Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)."[8]

Allah Taala berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Taala; sesungguhnya Allah Taala Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."[9]

Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali Rohimahullah menyebut bahawa ayat tersebut mengandungi syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mnecegah kemungkaran.

Al- Qurtubi Rohimahullah menjadikan syarat tersebut sebagai pemisah antara orang mukmin dengan orang munafik. Ibnu 'Atiyyah Rohimahullah menjelaskan bahawa tugas menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran itu merupakan satu kewajiban bagi yang berkemampuan. Sekiranya dia khuatir atau takut, hendaklah dia mengingkari perbuatan mungkar yang dihadapinya dengan hatinya, lalu menjauhi orang-orang yang melakukan perbuatan tersebut.

Realitinya dunia masa kini diratah rakus dengan perbuatan keji dan mungkar. Dakwah Islamiyyah semakin berkurangan lantaran noda dosa yang semakin bermaharajalela. Sinar kebenaran semakin sayup kelihatan. Mudah-mudahan kita semua berasa takut dengan azab Allah Taala yang akan diturunkanNya tanpa membezakan di antara yang soleh mahu pun yang engkar.

Allah Taala berfirman di dalam al- Quran yang bermaksud: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."[10] Oval: 21

Sayyiduna Abu Bakar Rodiallahuanhu menyebut: "Wahai sekalian manusia! Hendaklah kamu semua melaksanakan ayat (quran) ini: Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah Taala jualah tempat kembali kamu semuanya. Selepas itu, Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan."[11]

Sebahagian ulama' menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang- orang yang gugur perintah, untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran apabila dakwahnya jelas sudah tidak lagi diterima oleh orang lain.

Al-Imam at-Tirmizi Rohimahullah meriwayatkan bahawa Sayyiduna Rasulullah Sollallahualaissalam bersabda yang bermaksud: "Bahkan hendaklah kamu menyuruh (manusia) untuk melakukan kebaikan dan mencegah (mereka) daripada melakukan kemungkaran, sehingga (jelas) kamu melihat (munculnya) golongan orang bakhil yang ditaati, hawa nafsu diikuti, (kecintaan terhadap) kehidupan dunia yang memberi kesan (kepada manusia) dan (apabila munculnya) golongan pemikir yang kagum (yang berbangga) dengan buah pandangannya, maka (ketika itu) hendaklah engkau memencilkan diri engkau dan jauhilah orang ramai."

Sayyiduna Rasulullah Sollallahualaissalam bersabda lagi yang bermaksud: "Demi jiwaku yang berada di genggamanNya, hendaklah kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau (apakah kamu hendak) Allah menimpakan azabNya (kepada kamu), kemudian kamu berdoa (memohon supaya terselamat daripada azab) dan (ketika itu) permintaan-permintaan kamu tidak lagi ditunaikan."

Baginda Sollallahualaissalam menyebut yang bermaksud: "Janganlah kamu merendahkan (atau menghina) diri kamu sendiri. Para sahabat bertanya, “Bagaimanakah kami boleh menghinakan diri kami sendiri?” Baginda Sollallahualaissalam menjawab yang bermaksud: “Dia melihat suruhan Allah Taala hanya sebagai firmanNya semata- mata, kemudian dia menyampaikannya kepada manusia (untuk melaksanakan perintah Allah Taala tersebut). Maka Allah Taala akan berkata kepadanya pada Hari Kiamat: Apakah yang melarangmu untuk berkata demikian demikian? Maka dia menjawab: Takutkan manusia. Lalu Allah Taala berfirman: Akulah sepatutnya yang lebih berhak (untuk ditakuti)."

Sayyiduna Rasulullah Sollallahualaissalam bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik jihad ialah (mengatakan) kata-kata yang hak (atau benar) di hadapan pemerintah yang zalim."

Oval: 23Baginda Sollallahualaissalam bersabda, yang mafhum hadithnya menjelaskan kepada kita bahawa akan tiba pada suatu hari nanti, seorang lelaki yang akan dicampakkan ke dalam api neraka pada Hari Kiamat kelak. Penghuni neraka ketika itu menjadi hairan dan terkejut melihat nasibnya kerana lelaki tersebut semasa hidupnya di dunia tergolong di dalam orang-orang yang menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah orang lain daripada melakukan kemungkaran. Lelaki tersebut mengatakan bahawa walau pun dia menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi dia tidak melakukannya, dan sungguh pun dia mencegah orang lain berbuat kemungkaran tetapi dia melakukannya.

Oleh hal demikian, Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"[12]

Firman Allah Taala lagi yang bermaksud: "Amat besar kebenciannya di sisi Allah Taala (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."[13] Allah Taala mewahyukan kepada Nabi 'Isa Alaihissalam yang bermaksud: "Berilah peringatan kepada dirimu. Apabila dirimu telah diberikan peringatan maka berilah peringatan pula kepada orang lain. Sekiranya kamu tidak melakukan perkara demikian, maka sepatutnyalah kamu malu kepadaku."

Allah Taala melalui firmanNya jelas melaknat golongan yang melakukan dosa dan kemudian tidak berusaha untuk menegah pula perbuatan dosa tersebut. Al- Quran merakam firman Allah Taala yang bermaksud: "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud Alaihissalam dan Nabi Isa Ibni Maryam. Ini disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya, amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."[14]

Al-Imam Muslim Rohimahullah meriwayatkan bahawa Sayyiduna Muhammad Sollallahualaissalam telah bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia cegah dengan tangannya (atau kuasanya), sekiranya dia tidak mampu (hendak mencegah kemungkaran itu, maka) dengan lidahnya (iaitu dengan kata-katanya), sekiranya dia tidak mampu (hendaklah dia cegah) dengan hatinya dan (ketahuilah cegahan dengan hati) itulah yang (menunjukkan kita memiliki) selemah- lemah iman."

Penutup.

Kajian yang ditulis ini merupakan satu teori semata-mata di dalam memahami perbahasan mengenai amal ijtimai'e. Tulisan terlalu banyak kekurangan dan kecacatan. Namun diharap ia dapat memberikan manfaat yang besar kepada kita. Mudah- mudahan Allah Taala merahmati kita semua.



[1] Sila lihat kertas kerja; Kefahaman Antara Amal Jamai'e dan Amal Ijtima'e, Ustaz Anhar B. Opir.

[2] Sila lihat Buku Awlawiyyat al-Harakah al-Islamiyyah, Dr. Yusof al-Qorodhowiy.

[3] Sila lihat tafsir al-Quran, Surah al- Haj, ayat 77.

[4] Sila lihat kertas kerja; Kefahaman Antara Amal Jamai'e dan Amal Ijtimai'e, Ustaz Anhar B. Opir.

[5] Sila lihat tafsir al-Quran, Surah az- Zaa riyat, ayat 56.

[6] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah Luqman, ayat 17.

[7] Sila lihat tafsir al-Quran, Surah Ali 'Imran, ayat 104.

[8] Sila lihat tafsir al-Quran, Surah al-A'raf, ayat 165.

[9] Sila lihat tafsir al-Quran, Surah at-Taubah, ayat 71.

[10] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah al- Anfal, ayat 25.

[11] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah al- Ma idah, ayat 105.

[12] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah al- Baqarah, ayat 44.

[13] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah as- Sof, ayat 3.

[14] Sila lihat tafsir al- Quran, Surah al- Ma idah, ayat 78 hingga 79.

This entry was posted on Monday 25 August 2008 at 06:17 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment