Adab bersama Nabi  

Posted by blog dr.

RAHSIA DI SEBALIK PENUBUHAN MADRASAH DI AL-'UTAIBIYAH

Semasa Sayyid Muhammad b. 'Alawi al-Maliki Rohimahullah bermusafir ke Indonesia, pada tahun 1394 Hijriyyah, beliau berkesempatan bersama-sama dengan sejumlah para ulamak dan masyaikh di sana, antaranya ialah al-'Allamah Habib 'Ali b. Husin al-'Attas.

Mereka telah meminta kepada Sayyid Muhammad Rohimahullah supaya membuka sebuah madrosah untuk anak-anak mereka di Makkah. Menghidupkan pengajian ilmu dan amalan-amalan masyaikh terdahulu, yang mengikut landasan Ahlu Sunnah wal Jama'ah. Mereka bimbang anak-anak mereka akan menjadi pengikut kepada pendakwah Komunis, apabila dihantar ke Hadromaut, yang ketika itu di bawah jajahan Komunis.

Pada zahirnya beliau bersetuju. Namun jauh hatinya berkata, beliau hanya akan membuka madrosahnya apabila ia mendapat berita atau persetujuan daripada Rasulullah SAW. Bahkan beliau juga memohon kepada Allah, supaya Rasulullah dan Sayyidatuna Fatimah RA menjadi pengurus dan musyrif madrosah tersebut, apabila ia dibuka nanti. Beliau juga berdoa agar pelajar keluaran madrosah itu nanti, dikurniakan futuh oleh Allah dalam urusan dunia dan akhirat.

Kemudian, beliau kembali ke Makkah tanpa memberitahu isi hatinya. Kebetulan pada waktu itu, Syeikh 'Abdullah as-Sudani datang ke Makkah. Beliau merupakan salah seorang yang dapat berhimpun dengan Baginda SAW secara yaqozoh.

Ketika menunaikan tawaf di Baitullah, beliau melihat Rasulullah SAW datang dari pintu al-Malik. Beliau segera menuju kepada Baginda SAW dan mengucup tangan Baginda SAW yang mulia itu. Baginda SAW bersabda yang mafhumnya; Beritahu anakku Sayyid Muhammad al-Maliki, supaya dia melaksanakan apa yang difikirkan di dalam hatinya.

Sebelum itu, beliau tidak kenal Sayyid Muhammad. Maka beliau pun berjalan-jalan di tiang-tiang Masjidil Haram untuk bertanya kepada orang yang mengenali Sayyid Muhammad. Lalu beliau bertemu dengan seseorang lelaki daripada Syanqiti bernama 'Abdul 'Aziz. Kedua-duanya saling bertanya-tanya tentang Sayyid Muhammad, sehinggalah mereka bertemu dengan Syeikh 'Abdullah Dardum. Beliau memakai serban yang dikenali sebagai Ghubanah, serban khusus bagi penduduk Makkah.

Mereka pun bertanya kepadanya dan menceritakan pesanan Rasulullah kepada Sayyid Muhammad. Akhirnya, Sayyid Muhammad ditemukan. Syeikh 'Abdullah Dardum menceritakan segala-galanya kepada Sayyid Muhammad.

Kemudian Sayyid Muhammad menceritakan hasratnya yang selama ini terpendam di dalam hatinya. Syeikh 'Abdullah Dardum lantas menangis lalu berkata; Aku akan menjadi orang yang pertama akan membantumu membuka madrosah tersebut.

Ruj.: Manaqib Tiga Permata Masjidil Haram, karangan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki Hafizahullah.

This entry was posted on Thursday 5 February 2009 at 23:14 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment