Cara Nabi Bersahabat  

Posted by blog dr.

Sayyiduna Hasan b. 'Ali rodiallahu'anhu menceritakan, bahawa Sayyiduna Husain Rodiallahu'anhu berkata: "Aku bertanya kepada ayahandaku (Sayyiduna 'Ali b. Abi Tolib Karramallahu Wajhah Rodiallahu'anhu) tentang akhlak Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam dengan sahabat-sahabatnya. Ayahandaku berkata:

Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam adalah orang yang sentiasa bermanis muka, lembut budi pekertinya, seorang yang tawadhu', tidak bengis, tidak kasar, tidak meninggikan suara, tidak menjerit-jerit di pasar, tidak melakukan perbuatan dan percakapan yang keji, tidak suka mencela, dan tidak kedekut.

Baginda tidak mencela apa yang tidak disenanginya dan tidak mensia-siakan harapan orang yang meminta pertolongan daripadanya serta tidak menghampakan mereka.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam menghindari dirinya daripada tiga perkara;
berbantah-bantahan, banyak bercakap serta berlebihan mengumpulkan harta dan sibuk dengan perkara yang tidak penting baginya.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam menghindari manusia daripada tiga perkara, yang mana Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam tidak mencela seseorang, tidak menjatuhkan maruah orang lain dan tidak mencari aib orang lain.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam tidak berbicara melainkan perkara itu ada kebaikannya. Apabila baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam berbicara, semua orang di dalam majlisnya tunduk, seolah-olah kepala mereka dihinggapi burung. Apabila baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam diam, barulah mereka berbicara. Mereka tidak saling berbantah-bantahan di sisinya. Apabila ada yang berbicara di sisinya, mereka diam mendengar apa yang dikatakan, hinggalah orang itu selesai. Orang yang pertama bercakap dengan baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam ialah orang yang pertama datang ke majlisnya.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam ikut ketawa apa yang mereka ketawakan dan ikut ta'ajub dengan apa yang mereka ta'ajubkan.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabar berhadapan dengan orang-orang asing yang terkadang bersikap kasar dalam perkataan dan permintaannya, sehingga sahabat-sahabatnya mengharapkan kedatangan orang asing seperti itu, kerana daripadanya, mereka mendapat manfaat.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda; apabila kalian melihat orang yang mempunyai hajat, maka bantulah dia.

Baginda Sollallahu 'Alaihi Wasallam tidak suka menerima satu pujian kecuali menurut apa yang sepatutnya.

Baginda juga tidak suka memutuskan perbicaraan seseorang kecuali orang itu melampaui batas, iaitu dengan melarangnya (daripada terus berbicara) atau pun bangun meninggalkannya."

` sila rujuk Mukhtasor asy-Syamail al-Muhammadiah, bab 45, Budi Pekerti Rasulullah, hadith 277, oleh al-Hafiz Muhammad b. 'Isa b. Sauroh at-Tirmizi Rohimahullah.

This entry was posted on Wednesday, 11 February 2009 at 05:16 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment