Wasiat Syeikh 'Abdul Qodir Rohimahullah  

Posted by blog dr.

Bismillah ~ assalamu'alaikum ...

Aku tersentuh dengan buku "Futuhul Ghaib", yang menghimpunkan beberapa syarahan Syeikh 'Abdul Qodir al-Jilani rohimahullah.

Dalam syarahan beliau yang ketiga puluh tiga, menyebut yang mafhumnya:
"Ada empat jenis manusia. Satu jenis ialah mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati. Mereka berotak tumpul, berjiwa kerdil, tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih-sayangNya. Dibimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan anggota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah. Berhati-hatilah kamu supaya tidak termasuk dalam golongan ini. Kita minta dilindungi Allah daripada pengaruh mereka.

Satu jenis lagi manusia ialah mereka yang ada lidah, tetapi tidak ada hati. Mereka bijak bercakap, tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapnya. Mereka mengajak manusia menuju Allah, tetapi mereka sendiri lari daripada Allah. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumang dalam maksiat itu. Mereka menunjukkan kepada orang lain bahawa mereka itu soleh, tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian. Inilah orang-orang yang dikatakan Nabi SAW mafhumnya; Yang paling ditakuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat. Kita berlindung kepada Allah daripada orang alim seperti itu. Hindari daripada orang-orang seperti itu. Jika tidak, kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manisnya yang bijak berbicara dan api dosanya akan membakar kamu serta kekotoran hatinya akan membunuh kamu.

Jenis yang ketiga ialah golongan yang mempunyai hati, tetapi tidak mempunyai lidah dan dia seorang yang beriman. Allah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya. Memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana banyak bercakap. Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak di dalam diam. Baginda SAW menyebut lagi yang mafhumnya; Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri daripada sepuluh bahagian. Sembilan daripadanya terletak di dalam diam. Mereka ini termasuk di dalam golongan orang-orang yang diberikan rahsiaNya, dilindungi serta diberi keselamatan, bijaksana, diberkati dengan keredhaanNya, dan segala yang baik diberikan kepada mereka. Oleh itu, hendaklah kamu berkawan dan bergaul dengan orang-orang seperti ini. Berilah pertolongan kepada mereka. Semoga kamu dikasihi Allah.

Jenis yang keempat ialah mereka yang diajak kedunia yang tidak nampak, diberikan pakaian kemuliaan seperti sabda Nabi SAW, mafhumnya; Barangsiapa yang belajar dan mengamalkannya serta mengajarkannya kepada orang lain, maka dia akan diajak ke dunia ghaib dan dimuliakan. Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu kerohanian yang tinggi. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga. Diberikan rahsia-rahsia yang tidak diberikanNya kepada orang lain. Dipilih untuk menghampiriNya. Hati mereka dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsiadan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuannya. Mengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu ahlullah. Mereka mendapat bimbingan yang benar. Hati-hatilah kamu supaya tidak memusuhinya.

Jadi, saya telah bahagi-bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulang kepada kamu untuk memeriksa diri kamu sendiri. Selamatkanlah diri kamu jika inginkan keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju apa yan dikasihiNya dan diredhaiNya. Dalam dunia ini dan di akhirat kelak.


sila rujuk Futuhul Ghaib oleh Syeikh 'Abdul Qodir al-Jilani,
terjemahan buku Pembuka Kepada Yang Ghaib oleh 'Abdul Majid b. Hj. Khatib

This entry was posted on Monday, 2 February 2009 at 04:33 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

salam...
saya sedang mencari buku Futuhul Ghaib - Syeikh Abdul Qadir Al Jailani...
leh saya dptkn bantuan dr saudara jika tak keberatan...
hubungi saya (man 0166605761)

14 April 2009 at 18:54

Post a Comment