.: RaMaDhAn, InDaHnYa KuNjUnGaNmU :.  

Posted by blog dr.

.: KhOtiRoH al-QoLb :.

e-mail : ceointerfirdaus@yahoo.com

Sumber : blog akhi syaikh Raja Mukhlis hafizahullah.

Ramadhan, kehadiranmu dinanti para pencinta Ilahi. Dikau hadir membawa makna. Manusia, takkala leka dengan dunia, dikau hadir mengingatkan mereka erti kasih sayang Tuhan s.w.t. Takkala manusia riang gembira dalam kekayaan dan kekenyangan, dikau hadir mengingatkan mereka erti kesusahan dan pengorbanan.

Itulah Ramadhan, rahmat bagi yang menghayati. Di sini, tidak perlu berbincang tentang kelebihan Ramadhan menurut Al-Qur'an dan Sunnah kerana ianya sudah dibincangkan secara meluas oleh para ulama' dahulu dan kini, saban Ramadhan mengunjung lagi. Di sini, tulisan ini ingin membawa kita menghayati Ramadhan dari dalam diri sendiri.

Bulan Ramadhan kunjung kembali, mengetuk hati-hati yang mati. Orang-orang awam tergambar kemeriahan Ramadhan yang lepas. Tergambar kemeriahan sewaktu berbuka puasa. Tergambar kemeriahan sewaktu bersahur dalam keadaan antara jaga dan lena. Terbayang kemeriahan sewaktu membeli juadah berbuka puasa di bazar dan medan selera. Terbayang kemeriahan sewaktu mengunjungi masjid bersama-sama keluarga. Terbayang juga kemeriahan dalam menyediakan persediaan untuk menyambut raya.

Zahirnya, Ramadhan membawa makna kemeriahan. Zahirnya, Ramadhan membawa makna persaudaraan. Zahirnya, Ramadhan membawa makna pengorbanan.

Tetapi, di sebalik setiap yang zahir, ada batinnya.

Takkala sebelas bulan, para hamba Allah yang lalai, leka dengan duniawi, tiba-tiba Ramadhan datang mengajak mereka merenung kembali erti kehidupan ini.

Kalaulah kehidupan ini untuk kelalaian, kenapa perlu mati? Kalaulah kehidupan ini untuk kemeriahan, kenapa perlu meninggalkan kehidupan ini? Kalaulah kehidupan ini untuk hiburan, kenapa perlu duduk di dalam kubur dan dipersoalkan?

Jelas, bukan itu makna kehidupan, tetapi mengapa itu yang kita lakukan?

Ramadhan mengetuk kembali leka-leka yang menyaluti rohani insani. Tiada lagi makan di siang hari. Malam pula, kawan-kawan pergi solat Tarawikh, takkanlah tak ikut sekali? Jadi, sesiapa yang disayangi Allah s.w.t., pasti akan memikir untuk berubah dan mengambil bulan Ramadhan sebagai madrasah tarbiah. Oleh itu, jadikanlah diri kita di kalangan mereka yang disayangi-Nya, dengan keinginan untuk berubah di bulan Ramadhan.

Cukuplah dari leka dengan dunia. Cukuplah dari mengejar kelazatan yang sementara. Cukuplah berlumba-lumba dalam pangkat dan harta. Cukuplah dari tenggelam dalam hiburan yang meleka. Cukuplah dari maksiat-maksiat yang membawa kemurkaan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.

Gantikanlah ia dengan cinta akhirat yang kekal abadi. Gantikanlah ia dengan keinginan untuk mencapai kelazatan maknawi (kebahagiaan) di akhirat nanti. Gantilah ia dengan berlumba-lumba menghampiri Ilahi (s.w.t.). Gantilah ia dengan zikir-zikir yang memenangkan rohani. Gantilah ia dengan amal soleh yang membawa keredhaan Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi.

Dunia oh dunia. Engkau tu sekejap, bukan lama. Aku pula, akan mati entah bila. Bila aku mati, engkau nak ikut sama?

Fahamilah…

Ramadhan merenung kita, takkala kita merenung diri sendiri. Ramadhan berkata: “ubahlah diri dalam diriku” takkala kita berkata: “ke mana hala tuju diri?” Takkala itu juga Allah s.w.t.: “Wahai yang bertanya, bukankah Aku lebih hampir kepadamu dari dirimu sendiri?” Mengapa nantikan senja untuk pulang ke pengkalan?

Ramadhan sudah mari. Syaitan dah digari. Nafsu pun lemah dalam kelaparan. Masyarakat pun dah sibuk dalam amalan. Kenapa tidak mahu jadikan ia peluang untuk meraih secebis nur rohani, bernama KEINSAFAN?

Fikirlah tentang Tuhanmu. Dia cintakan kamu. Kalau tidak, takkan Dia ciptakan kamu. Dia ciptakan kamu untuk mencintai-Mu. Kenapa kamu tidak mahu mencintai Dia yang mencintaimu seadanya. Tiada yang mencintaimu lebih dari cinta-Nya terhadapmu.

Takkala kamu leka dengan dunia, Dia juga yang bagi itu dunia. Takkala kamu leka dengan kelazatan duniwi, bukankah itu juga Dia yang beri? Takkala kamu tidur juga, bukankah Dia yang mengawasimu dan menghidupkanmu semula.

Ingatlah, takkala kamu lapar, bukankah Dia yang memberi makan kepadamu. Takkala kamu sakit, Dialah jua yang menyembuhkanmu. Takkala kamu kesorangan, Dialah yang menemanimu sehingga mententeramkanmu tanpa kamu sedari. Takkala kamu disisih, Dialah sebenarnya membelamu. Takkala kamu jatuh, Dialah yang sebenarnya membangunkanmu.

Bukankah kamu yang sakit itu, takkala sihat melupai-Nya? Mengapa Dia menyembuhkanmu setelah apa yang kamu lakukan terhadap-Nya pada waktu kamu sihat? Bukankah kamu yang lapar itu, takkala kenyang, melakukan maksiat kepada-Nya? Kenapa pula Dia sudi mengenyangkanmu walaupun setelah apa yang kamu lakukan kepada-Nya takkala kamu kenyang?

Jawapannya tak lain wahai hamba. Ini kerana, Dia cintakan kamu. Kamu sahaja yang tidak rasa kerana kamu tidak mencintai-Nya. Seorang ayah sekalipun, kalau anak degil-degil sangat, meuat juga. Tapi Tuhan, bertahun-tahun lamanya kamu degil, Dia tetap memanggil-manggilmu dan menanti kepulanganmu di sisi-Nya. Dia memberi kepadamu peluang demi peluang untuk kembali kepada-Nya.

Bukankah kamu yang berdoa kepada-Nya sewaktu kamu susah dahulu, lalu melupai-Nya sewaktu kamu senang. Bukan sekali begitu, bahkan ratusan malah ribuan kali begitu. Tuhan s.w.t. tidak jemu membantumu, kerana pada hakikatnya kamu memang tidak memiliki sesiapa melainkan Dia. Masalahnya, kamu sendiri tidak menyedarinya.

Kan Ramadhan sudah tiba. Ia satu peluang untuk kamu kembali kepada-Nya. Janganlah tangguh-tangguh. Ramadhan lagi satu belum tentu hadir. Kalau ia hadir sekali lagi pun, kamu boleh jadi sudah meninggal dunia.

Carilah makna Hamba dalam Ramadhan, kerana ia ialah bulan Cinta…Carilah sinar keinsafan pada bulan Ramadhan kerana ia ialah bulan keampunan. Carilah erti kehinaan dunia yang fana pada bulan Ramadhan kerana ia ialah bulan yang mulia.

Takkala seorang hamba terleka dengan dunia yang memukau pandangan rohani, Ramadhan hadir mengisi kekosongan jiwa sanubari. Dari sudut masa, Ramadhan hanya satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Dari sudut makna, Ramadhan ialah bulan cinta dari Maha Pencipta buat manusia yang dicipta, bagi meningkatkan lagi taqwa mereka, dalam rangka menuju makna "hamba".

Ramadhan ialah madrasah maknawi yang mengajar manusia makna di sebalik rupa. Kehidupan ialah suatu rupa. Nyawa ialah suatu rupa. Manusia ialah suatu rupa. Dunia dan seluruh isinya ialah suatu rupa. Namun, kita hidup bukan untuk rupa, tetapi untuk makna. Makna yang terkandung dalam diri manusia, iaitu "kehambaan".

Manusia yang leka dan terus leka dengan rupa dari dunia, terpanggil dek Ramadhan menjelma. Takkala seorang muslim yang leka, menahan dirinya dari lapar dan dahaga, di siang hari bulan puasa, terketuk sanubarinya, "mengapa perlu aku tahan lapar dan dahaga?"

"Kalau aku makan pun, bukan ada sesiapa tahu." Namun, dia, yang dulunya leka, terus menahan lapar dahaga, walaupun mampu makan jauh dari mata manusia, semata-mata kerana fitrah kerohanian dalam dirinya seolah berkata: "Tuhanmu melihatmu", tanpa disedarinya.

Secara tidak langsung, makna kehambaan dalam dirinya semakin terzahir, dari perasaan muroqobah seseorang hamba takkala berpuasa. Sedikit demi sedikit, Ramadhan membentuk suatu perjalanan rohani yang lebih mudah buat para hamba-Nya.

Bukankah di bulan Ramadhan, manusia sudah tidak lagi menghadapi ancaman bisikan syaitan. Hanya yang tinggal, perjuangan supaya diri sendiri tidak jadi syaitan. Nafsu yang membuak-buak, lepas dek kelaparan puasa. Alahai, kan senang kerja. Kata yang berkata: "tidur orang yang berpuasa pun, dikira ibadah!".

Dari renungan ini, tidakkah kita fahami, bahawa Ramadhan ialah Bulan Cinta dari Ilahi s.w.t.. 11 bulan hamba-hamba-Nya yang durhaka, terus menerus menderhakai-Nya, namun Allah s.w.t. tetap memuliakan mereka dengan satu bulan, bulan cinta. Dia s.w.t. tetap memberi peluang kepada para hamba-Nya yang kecundang dalam 11 bulan, untuk kembali bangkit dalam masa sebulan, untuk menempuh bulan-bulan yang mendatang.

Berbahagialah sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan dan berusaha mengambil peluang untuk kembali bangkit setelah jatuh. Berbahagialah bagi sesiapa yang memahami cinta Tuhan dari bulan Ramadhan. Berbahagialah bagi sesiapa yang berusaha meraih cinta Allah s.w.t. takkala diberi peluang untuk kembali kepada-Nya.

Madrasah Ramadhan sentiasa diperkatakan tentang kelebihan amalan padanya. Ramai yang terpukau dek kilauan ganjaran pahala dari amalan pada bulan Ramadhan, hatta pahala 1 ibadah wajib, sama seperti pahala 70 ibadah wajib di bulan Ramadhan.

Itu yang zahir. Para ahli zauqi memahami dari bulan Ramadhan, bahawa Allah s.w.t. menjadikannya suatu bulan, untuk para hamba-Nya berlumba-lumba untuk kebaikan. Mengapa Allah s.w.t. melakukan sedemikian, kalau bukan kerana cinta-Nya kepada para hamba-Nya?

Maka, para ahli Allah meningkatkan ibadah di bulan Ramadhan kerana mensyukuri kurniaan Allah s.w.t. kepada para hamba-Nya, serta menghargai cinta-Nya kepada para hamba-Nya. Cukuplah Ramadhan menggambarkan kasih sayang Tuhan kepada para hamba-Nya, membuatkan para ahli Allah s.w.t. berlumba-lumba untuk menghampiri-Nya.

Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita di kalangan mereka yang mengambil faedah dari Ramadhan...

Sumber : blog akhi syaikh Raja Mukhlis hafizahullah.

This entry was posted on Thursday, 11 September 2008 at 14:48 . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment